Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya doakan semua yang membaca nukilan rasa saya ini dalam keadaan sihat , dirahmati Allah dan berjaya dalam apa sahaja yang diusahakan .Aamiin.
Agak lama saya tidak menulis dan menupload sebarang konten dalam ruangan blog ini . Ini disebabkan saya agak sibuk menjaga Emak saya yang sakit . Emak saya menderitai sakit kanser usus (Colon Cancer) . Selama 6 tahun Emak menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi bermula dari akhir tahun 2011 sehingga Okt 2018 .
Pada peringkat awal doktor mengatakan ada tumor dalam usus Emak . Namun setelah setahun berulang - alik ke hospital membuat pemeriksaan akhirnya doktor mengdianosis Emak mengidap kanser usus tahap 2. Kanser usus biasanya akan dirawat mengikut tahap, dan Emak telah menjalani pembedahan untuk dibuang bahagian di mana kanser itu terbentuk. Rawatan lanjutan seperti kimoterapi serta radioterapi telah Emak jalani selepas pembedahan, namun ianya amat bergantung pada tahap kesihatan Emak juga . Jika tahap kesihatan Emak tidak mengizinkan seperti demam dsb maka kaedah rawatan lanjutan ini tidak dilakukan dan ditangguhkan ke masa yang lain.
Ada kawan-kawan dan Saudara menyarankan Emak mengambil herba pelengkap yang tinggi zat anti kanser untuk menghalang saki baki sel daripada terus merebak ke kawasan lain, ini kerana selain merawat, ianya juga mampu melindungi bahagian normal yang masih belum terkena serangan.
Namun kita hanya mampu berusaha tapi akhirnya Allah yang menentukan. Pada akhirnya setelah 6 tahun Emak berjuang melawan penyakit kanser itu saya dan keluarga telah menerima berita amat memilukan , doktor telah mengesahkan hati, paru-paru dan juga lapisan rongga perut Emak telah telah dijangkiti kanser mencapai tahap 4 .
Mengikut dari bacaan saya Kanser Usus adalah antara 10 kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia. Seramai 1400 rakyat Malaysia menghidap kanser ini setiap tahun. Kanser Usus boleh berlaku di kalangan orang dewasa pada sebarang umur. Walau bagaimanapun kanser ini jarang berlaku bagi lingkungan umur kurang 50 tahun dan lebih biasa di kalangan lelaki berbanding wanita.
Punca kanser Usus masih tidak di ketahui tetapi banyak kanser perut dikaitkan dengan karsinogen (agen penyebab kanser) dalam diet ataupun pemakanan seharian. Nitrat (yang terdapat dalam makanan yang diasapkan, dijeruk dan dimasinkan) juga dikatakan antara penyebab utama dalam terjadinya kanser usus ini. Saya berharap semoga kita semua dilindungi dari penyakit ini.
Dari bacaan saya juga kebanyakkan kanser usus bermula dengan satu ketumbuhan kecil bukan kanser (benign) yang wujud pada dinding usus, ketumbuhan ini dikenali dengan panggilan polip denomatous. Sesetengah polip ini boleh berkembang menjadi kanser kolon malignan dari masa ke masa jika mereka tidak dikeluarkan semasa kolonoskopi - prosedur yang melihat lapisan dalam usus. Jika tidak dikeluarkan, sel-sel yang telah berubah menjadi sel kanser usus besar ini akan menceroboh dan merosakkan tisu yang sihat yang terdapat berhampiran tumor utama, menyebabkan akan timbulnya banyak komplikasi yang tidak diingini.
Akhirnya teman-teman , Allah lebih menyangi Emak dan Emak telah kembali kerahmatullah pada 30 Oktober 2018 lebih kurang pukul 2.30 petang . Perasaan sedih dan pilu menyelubungi perasaan saya dan seluruh keluarga kerana Emak yang mengandungkan saya selama 10 bulan telah kembali kepada Penciptanya . Maka tidak dapat saya memeluk Emak dan mencium tangan Emak lagi .
Mohon semua yang membaca blog ini mendoakan semoga Arwah EMAK (Hajjah Ramlah Binti Hj Mat Din ) diampunkan dosanya dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman serta dimasukan ke JANNAH . Al Fatihah , Amiin , ya Robal Alamin.